Berdasarkan kepada “The Age of Majority” yang menetapkan individu yang telah mencapai umur 18 tahun dianggap sebagai matang, dan mereka mempunyai hak untuk mengawal dan menentukan pilihan kehidupan mereka, maka ia menjelaskan bahawa doktrin “In-loco-Perentis” dianggap tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan di institusi pengajian tinggi kerana para pelajarnya telah melepasi had umur ini.
Bagaimanapun perlu disedari bahawa sistem pendidikan dikebanyakan negara bukan hanya setakat menyediakan latihan keintelektualan yang memenuhi kurikulum pengajian semata-mata, tetapi juga meliputi proses membimbing pelajarnya ke arah kematangan fikiran dalam membuat sesuatu pertimbangan dan keputusan, yang selama ini dilaksanakan untuk memenuhi kehendak kurikulum tersembunyi (hidden curriculum). Oleh itu istilah membimbing dan memberi bantuan masih tetap dan perlu dilakukan terhadap pelajar dan perkara ini termaktub dalam salah satu teras “In-loco-Parentis” iaitu hubungan di antara pelajar dengan institusi yang disertainya.
Antara perkara yang perlu dipenuhi oleh sesebuah institusi pengajian adalah penyediaan tempat kediaman, aktiviti dan pengurusan disiplin pelajar demi memenuhi aspek keselamatan. Secara kebetulan perkara-perkara ini antara tiga bidang kuasa yang perlu digunakan oleh mana-mana institusi pengajian tinggi, sebagaiman yang terkandung dalam teori “In-loco-Parentis”.
Kewujudan perkara-perkara di atas adalah seumpama kebertanggungjawaban ibu bapa kepada anaknya untuk memastikan anak-anak itu berada dalam keadaan yang selesa dan selamat. Pelaksanaan peraturan-peraturan dan garis panduan disiplin yang perlu dipatuhi oleh pelajar-pelajar adalah untuk memenuhi aspek yang sama iaitu keselamatan. Bahkan ia bertujuan juga untuk melindungi para pelajar ini dari aspek-aspek fizikal, moral dan mental dari sebarang unsur-unsur yang tidak sihat yang akhirnya akan memudaratkan.
Dalam pelaksanaan peraturan-peraturan dan undang-undang, pasti akan wujud persamaan di antara institusi pengajian tinggi dan ibu bapa dari aspek cara penguatkuasaan. Peneguhan yang berbentuk positif atau negatif dan juga dendaan adalah perkara yang sama dilakukan oleh kedua-dua pihak ini. Seorang anak adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pemimpin keluarga, manakala seorang pelajar akan tertakluk kepada peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan, sebaik sahaja ia mendaftar ke sesebuah institusi pengajian tinggi yang disertainya.
Kesimpulannya, “In-loco-Parentis” kelihatan tidak praktikal untuk dilaksanakan di institusi pengajian tinggi jika dilihat dari aspek umur pelajar yang menyertai sesuatu institusi pengajian tinggi. Namun jika dilihat dari aspek tanggungjawab, perkara sebaliknya pula berlaku. Ini menggambarkan bahawa “In-loco-Parentis” masih perlu dilaksanakan di institusi pengajian tinggi, tetapi bukan secara total atau sepenuhnya. Pelajar masih ada hak untuk mengurus dan menentukan pilihan, tetapi dalam masa yang sama mereka amat memerlukan bantuan dan bimbingan oleh pihak institut dalam beberapa aspek keperluan hidup dan keselesaan pembelajaran, dan mereka tetap tertakluk dan patuh kepada setiap peraturan yang telah ditetapkan. Oleh itu adalah penting kedua-dua pihak (iaitu pelajar dan institut) perlu memahami akan keperluan sesama mereka., kerana pihak institut amat memerlukan kehadiran pelajar, manakala pelajar pula amat memerlukan institut dalam memenuhi kelangsungan kehidupan mereka pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment