Pengurusan Murid
Murid adalah pelanggan bagi setiap
guru dalam bilik darjah, mereka akan bersama setiap kali pengajaran
dan pembelajaran berlangsung dalam bilik darjah. Hati mereka perlu
dibersihkan melalui pendidikan yang terbaik, yang melampaui tingkahlaku
manusia. Terdapat perbezaan antara individu murid atau kumpulan murid dengan
yang lain yang mendesak guru menggunakan yang optimum dalam pengurusan bilik
darjah, dan adalah penting guru memahami tingkahlaku dan budaya murid supaya
sebarang tindakan dapat dilakukan mengikut kaedah yang betul dan tepat.
Pengurusan hal ehwal murid dalam bilik darjah melalui pendekatan
penyayang yang ditunjukkan oleh guru, dapat menjinakkan mereka, bercakap
dengan bahasa yang lembut dan bersopan, menegur dan membetul kesilapan dengan
cara yang berhemah, di samping menggunakan segala sifat mahmudah, akan
mempercepatkan proses kecintaan dan kesetiaan murid terhadap gurunya, dan
kemujaraban pemindahan maklumat daripada guru kepada muridnya.
Kemahiran berkomunikasi memainkan peranan penting ke arah pembentukan
budaya penyayang, komonikasi berkesan dalam dijelmakan dalam cara bertutur,
penggunaan bahasa badan, penulisan, juga melalui penggunaaan alat-alat
tertentu seperti komputer, telipon dan sebagainya. Apabila seorang guru
menggunakan kemahiran berkomonikasi terhadap muridnya, dapat menghasil
suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak,
kemahiran-kemahiran tertentu dapat diterap dengan lebih mudah dan
berkesan. Komunikasi berkesan
menghasilkan motivasi yang berkesan, murid mudah menerima motivasi yang
disampaiakn secara berhemah dan berhikmah, nilai-nilai murni yang hendak
ditanam dalam diri murid akan melalui laluan yang lebih mudah dan berkesan.
Guru yang berwibawa sentiasa melihat pembelajaran sosial sebagai satu
aspek penting dalam bilik darjah.
Setiap yang dipimpin perlukan penghargaan dan pengiktirafan, dan guru
seharusnnya bijak menggunakan kebijaksanaan komunikasi serta pendekatan
penyayang dengan menghadiahkan senyuman, memberikan penghargaan apabila
mereka mempamerkan sesuatu yang lebih baik daripada sebelum, misalnya, kelas
yang lebih teratur, kemas yang bersih. Menghabiskan ayat hafazan sebelum
jangka masa yang ditentukan, markah yang semakin baik. Sekeping kertas
berbentuk surat penghargaan, atau sebatang pen sebagai tanda penghargaan
sudah menunjukkan keikhlaan guru bagi meningkatkan prestasi mereka.
Guru menunjukkan teladan sebagai seorang professional, membentuk
program-program yang bertujuan membangunkan murid, dengan peraturan dan
arahan yang jelas, bagi mengurang segala tingkahlaku negative. Guru
sepatutnya mengelak diri daripada menggunakan pendekatan-pendekatan yang
bertentangan dengan norma kemanusiaan yang menggalak murid menghargai
pertumbuhan pengetahuanh dan kemahiran diri.
Budaya bilik darjah yang dinamis,
mementingkan aspek nilai-nilai murni, hubungan yang mesra di antara sesama
murid, dan murid dengan guru, budaya belajar yang ceria, meyeronokkan yang
menyentuh emosi, meningkatkan kecergasan mental, kreatif dan enovatif, penyertaan
yang aktif, pembelajaran yang berobjektif dan bermatlamat, yang sentiasa
mendapat dorongan dan bimbingan guru dan rakan sebaya, tahap disiplin yang
terkawal melalui tindakan yang berhemah, yang dibaluti dengan perasaan kasih
dan sayang dapat memberi peluang yang terbaik untuk mengembang potensi diri
mereka ke arah pembentukan modal insan yang berkauliti.
Guru boleh membuat jangkaan terhadap pelajar, seperti mengurangkan kadar
ponteng dan permasalahan disiplin melalui pendekatan pengurusan bilik darjah
yang berkesan. Kadar bilangan murid yang terlalu ramai dalam sesebuah bilik
darjah, bukan satu ukuran yang subjektif untuk dibuat satu kesimpulan bahawa
kelas tersebut tidak dapat dibangunkan, tetapi bagaimana guru menyusun
kedudukan meja, mengorganisasikan murid sebagai sebuah pasukan yang mantap,
melalui tindakan guru sebagai fasilitator, pembimbing, penyelia, pengawal dan
penggerak serta menggunakan pelbagai pendekatan kaedah dalam pengajaran dan
pembelajaran yang disertai dengan semangat, minat, dan komitmen guru bagi
menjayakan visi dan misi. Kecekapan yang ditunjukan oleh guru bagi
menhasilkan bilik darjah sebagai sebuah rumah dalam slogan,’ bilik darjah ku,
rumah ku’.
Kemahiran mengawal kelas apabila guru melangkah masuk ke kelas tersebut
menjadi penting kerana seorang guru tidak boleh melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran berkesan sekiranya muird-murid dalam kelas berkenaan tidak dapat
dikawal dengan baik. Guru mungkin berhadapan dengan beberapa murid yang
nakal, tetapi harus ingat bahawa bukan semua murid menjadi punca permasalahan
tetapi jika tiada pengawalan yang baik, jumlah murid yang akan menimbulkan
ketidakselesaan guru akan bertambah dan akhirnya menjejaskan penumpuan guru
terhadap penyampaian pengajaran .
Strategi bagi mengawal keadaan ini, guru mengenalpasti murid-murid yang
menimbulkan punca permasalahan, supaya murid lain tidak menjadi ‘pak turut’
dengan permasalahan rakan mereka itu, murid yang berkenaan dikenalpastikan
pula punca yang menyebabkan ia bertindak sedemikian, cuba membantu
menyelesaikan punca permasalahan itu, dan teruskan aktiviti pengajaran dengan
banyak berinteraksi dengan murid yang berkenaan sehingga ia merasakan dirinya
mendapat perhatian dan dihargai bukan kerana dirinya tetapi kerana
tingkahlakunya yang tidak disenangi guru. Guru juga sentiasa mempamerkan
pengiktirafan terhadap murid berkenaan ketika berada di luar waktu pengajaran
dan pembelajaran, ketegasan kepada disiplin pembelajaran perlu dilakukan
dengan cara dan pedekatan yang berhemah yang menampakkan bahawa ketegasan itu
bukan bertujuan penderaan tetapi pengajaran. Sekiranya perlu murid berkenaan
diberikan nasihat, teguran dan kata-kata motivasi yang menggambarkan bahawa
guru menyayanginya. Apabila berlaku perubahan ke arah kebaikan, berilah
pengiktirafan dan penghargaan terima kasih.
Kesabaran, kecekalan dan kesungguhan untuk membentuk perangai mereka
yang kadangkala mengambil masa yang agak lama.
Beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan mengurus tingkahlaku murid,
antaranya ialah senaraikan maklumat yang perlu murid ketahui tentang
peraturan yang wajib murid patuhi sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran
dan disertai dengan sebab-sebab dan objektifnya. Membiasakan diri datang ke
bilik darjah menepati masa, menggunakan pelbagai kaedah pengajaran dan
pembelajaran mengikut tahap pencapaian murid, yang dimulakan dengan set
induksi yang menarik dan diikuti dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang
menghilangkan rasa kebosanan mereka atau melakukan beberapa tugasan yang
berkaitan dengan isi-isi pengajaran tersebut,
guru tidak melengah-lengah waktu untuk memulakan pengajaran dan
menamatkan pengajaran diminit-minit yang akhir, untuk mengelakkan murid
melakukan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan hasil pembelajaran,
banyak merangsangkan minda mereka dengan kata-kata bermotivasi dan penuh
dengan senyuman dan jenaka (sense humor), dan pujian supaya suasana senstiasa ceria, di samping memberi teguran
umum yang berupa nasihat tetapi bukan leteran. Guru juga menghormati murid
seperti orang lain, bersikap adil
kepada semua murid, hukuman berbentuk deraan tidak seharusnya dilaksanakan
kerana menyebabkan hubungan guru dengan murid akan renggang dan menghilangkan
minat murid untuk meneruskan pembelajaran.
|
Pengurusan pengajaran
dan pembelajaran
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah aspek yang terpenting dalam bilik darjah,
merupakan tugas utama yang perlu diberi perhatian yang serius, pembaziran
waktu akan berlaku dalam satu masa pengajaran dan pembelajaran sekiranya
objektif pembelajaran tidak tercapai.Pelan Tindakan Strategik bagi mata
pelajaran yang diajar perlu disediakan oleh guru. Kajian dari aspek kekuatan,
kelemahan, peluang dan halangan yang disertai dengan perancangan untuk lima
tahun dan perancangan untuk tahun semasa selaras dengan perancangan staregik
sekolah.
Peningkatan profesionalisma guru dalam bilik darjah dilihat dalam aspek kebolehan mencorak
kualiti pengajaran, kebolehan menyusun organisasi pembelajaran, kebolehan
mencorak iklim dalam bilik darjah, kebolehan mencorak perkembangan murid
termasuk perkembangan akademik, perlakuan, sosial, emosi, rohani, intelek dan
jasmani.
Guru yang bercita-cita untuk menjadi pengurus bilik darjah yang berkesan
dapat memahami perasaan dan kehendak hati nurani murid-murid, guru perlu
cekap mencorak iklim yang memberansangkan, kecekapan dan kemahiran
pengajaran, pengurusan masa, produktiviti dan tugas pengajaran dan
pembelajaran, mencorakkan tingkahlaku dan pengawalan disiplin murid. Oleh
itu guru berperanan sebagai pendidik,
pemudah cara, pemimpin, pembimbing, penilai, perancang, perunding dan
pendorong ke arah kecemerlangan murid.
Bagi mencapai kecekapan dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran maka
perlukan kebijaksanaan dan penelitian
dalam perancangan , pelaksanaan,
penyeliaan, penilaian dan refleksi.
Merancang kurikululum, sukatan, huraian sukatan, buku teks, bahan rujukan
tambahan dan maklumat tambahan daripada pelbagai sumber termasuk laman web.
Perkara-perkara yang melibatkan innovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan
pembelajaran supaya kelas tidak menjadi beku dan kaku diikuti dengan
perancangan kemajuan pelajar, merangka
rancangan kerja tahunan, termasuk ujian, penilaian dan pentaksiran. Perancangan yang
berkualiti menjamin peningkatan kuantiti dan kualiti dalam proses perkembangan
pembelajaran serta hasilannya. Biasanya tingkahlaku dan minat murid akan
berubah apabila bertukar guru, ada guru yang digemari murid dan sebalik ada
yang tidak digemari murid.
Pembelajaran yang bermakna
melibatkan proses memahami, berfikir, berbincang, membuat
pertimbangan, menganalisis, kognitif, bagi mengembangkan minda murid. Diperluaskan kepada kemahiran komunikasi, menyesuaikan diri, kemahiran
sosial, dan perkembangan tingkahlaku. Prinsip umum pembelajaran, iaitu
meningkatkan dan mengekalkan rasa kejayaan, meluaskan tahap keintlektualan,
kerohanian, kekuatan emosi, dan keteguhan jasmani, merangsang minat dan
menghasilkan keseronokan, memberi ruang dan peluang untuk mengatasi
kelemahan, tidak menakut-nakutkan dan mengungut murid, sebaliknya memberi
peluang kepada mereka memperbaiki kelemahan, tidak membiarkan kegagalan
berterusan, pembelajaran perlu realistik dan boleh dilakukan, mengambil
kira kemampuan murid, pembelajaran
perlu dapat menentukan objektif iaitu apa yang hendak dikuasai oleh murid,
dan pembelajaran juga mampu mencabar kebolehan murid bagi mengembangkan
potensi mereka.
Guru perlu memiliki beberapa kemahiran penting, kerana kemahiran mengajar
menjadi instrumen untuk kejayaan dalam mengurus bilik darjah, antara kemahiran dalam pelbagai kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang boleh diambil dari modul, model, kaedah dan
teknik yang sedia ada atau menggunakan daya innovasi dan kreativiti membina
model-model tersendiri, kemahiran berkomunikasi, kemahiran interpersonal,
kemahiran dalam bimbingan dan kaunseling, kemahiran dalam menawan emosi atau
kesedaran emosi juga menjadi pemangkin dalam pengajaran dan pembelajaran.
Komunikasi adalah medan pemindahan pengetahuan, penyampaian pengajaran,
mengembangkan kemahiran berkomunikasi, dan mendapat maklumat. Mengamalkan
komunikasi berkesan, penggunaan bahasa, kesediaan mendengar, meningkatkan
proses intraksi, komunikasi terbuka, kemahiran bertutur dan mengemukakan
pandangan, berhujah dan berdailog,
Guru seharusnya mampu mengembangkan kemahiran komunikasi, lebih kreatif
dan hubungan yang lebih dinamik kesannya, penyelesaian konflik yang berrlaku,
memberi ruang untuk murid melahirkan pandangan, guru mampu melakukan
pengaliran maklumat yang lebih berkesan, serta mendapat maklum balas yang benar.
Guru berjaya menghasilkan kreativiti
dalam pengajaran dan pembelajaran, dengan membina pelbagai kemahiran, yang
boleh meningkatkan kecekapan, dan
meluaskan skop pembelajaran, yang bermatlamat bagi meningkatkan pengajaran
guru.
Justeru itu guru seharusnya mengelakkan masalah yang boleh menjejaskan
keberkesanan komunikasi seperti kekeliruan, salahtafsir, bahasa yang kasar,
suara yang tidak jelas, bahasa badan yang tidak sesuai, memberi tekanan emosi
murid, komunikasi tertutup, tidak memberi perhatian dan tumpuan tentang
pengajaran dan pembelajaran.
Kehebatan pengajaran guru bergantung kepada kejelasan suara, gaya
pengajaran yang menarik, flesibiliti iaitu tidak sehingga membosankan,
inovasi, kreatif, pendekatan yang
sentiasa digunakan untuk membaiki kelemahan murid, penglibatan murid dalam
aktiviti kelas, dan pengurusan masa yang berkesan. Meransang minat, memenuhi
keperluan diri, sosial, dan psikologi, dorongan dan sokongan, mengembangkan
potensi, kebolehan, minat, bakat dan keyakinan diri murid.Kepakaran guru
diukur dari aspek inisiatif, dedikasi, perancangan, kerjasama, kepimpinan,
kepakaran, integriti yang tekal dalam organisasi yang dapat mengujudkan
keharmonian dan menunjukkan kesetiaan dan sokongan bagi menjayakan wawasan,
keaktifan, dan pengurusan masa. Pembelajaran murid terhasil melalui proses
pendengaran,pemerhatian, peniruan, membuat, ekplorasi iaitu pembelajaran yang
aktif yang merangsangkan minat murid, melalui latihan, percubaan, penglibatan
dalam aktiviti pembelajaran.
Kejayaan seseorang guru sebagai pengurus di bilik darjah tidak
semata-mata dinilai daripada aspek kemahiran dan teknik pengajaran dan
pembelajaran semata-mata, tetapi kualiti peribadi dan sahsiah diri juga
menjadi tarikan kepada murid-murid. Pada amnya guru yang disukai murid
antaranya ialah yang sentiasa berwajah periang, pandai berjenaka, bersangka
baik, berperasaan yang matang, jujur dan ikhlas dalam menjalankan tugas,
berfikiran positif, tenang menghadapi sebarang krisis, pendengar yang aktif,
berjaya menyelesaikan konflik, dan tidak mudah menyalahkan orang lain. Imam
al-Ghazali menggariskan ciri-ciri guru yang efektif iaitu guru yang memiliki
rasa simpati kepada setiap murid dan melayani mereka seperti anak sendiri,
meneladan sunnah Rasulullah S.A.W. yang ikhlas dalam memberi perkhidmatan,
tidak membenarkan murid melaksanakan sesuatu tugas kecuali guru benar-benar
mengetahui pengetahuan tersebut, menasihat murid secara lembut dan berhemah
supaya meninggalkan perkara-perkara yang buruk, tidak sekali-kali merendahkan
disiplin ilmu yang lain di hadapan murid, menghadkan pembelajaran bersesuaian
dengan tahap pencapaian dan pemahaman murid dan tidak memaksa mereka mencapai
sesuatu di luar kemampuan serta menyediakan bahan pembelajaran yang mudah
difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid.
Pengajaran Dan
Pembelajaran
Pengajaran dan pembelajaran yang
hendak dikembangkan seharusnya mengikut instrumen yang telah ditetapkan oleh
bahagian-bahagian pengurusan di atas. Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral adalah
satu-satunya jabatan yang bertanggungjawab untuk memperkenalkan dan
menyelaraskan instrumen-instrumen berkenaan untuk digunapakai oleh organisasi
di bawah kawalan. Modul pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh
JAPIM telah melepasi piawai yang dikehendaki oleh pengurusan sekolah dan
jemaah nazir sekolah. Beberapa perkara penting yang dititikberatkan dalam
modul berkenaan iaitu hasil pembelajaran dan fokus, isi kandungan pelajaran,
set induksi, perkembangan pengajaran dan pembelajaran. Penilaian, rumusan,
tugasan dan refleksi.
Set induksi :
Merupakan suatu perkara atau proses yang diperkenalkan pada minit pertama
pengajaran yang bertujuan untuk menarik perhatian dan mendorong murid
mempengaruhi hasil pembelajaran, set induksi yang menarik dapat menimbulkan
minat murid terhadap tajuk yang hendak disampaikan guru, murid memperolehi
gambaran awal sebelum dimulakan pengajaran tajuk yang sebenar, mendorong
pelajar untuk mengetahui isi pengajaran, dan pemusatan mental murid kepada
satu konsep atau pendekatan yang hendak dikemukakan oleh guru.
Set induksi boleh disediakan dalam pelbagai bentuk dan kaedah yang
menarik, seperti tayangan sedutan filem, sebuah nasyid, pantun, puisi, satu
persembahan atau lakonan, permainan, soal jawab, mempamerkan suatu bentuk
atau objek, suatu penyataan yang kontroversial, klip vedio tentang sesuatu
panorama, atau satu peristiwa yang telah berlaku, atau menyediakan satu bahan
atau satu persoalan yang mencabar minda murid. Set induksi yang hendak
disediakan hendaklah yang dapat dikaitkan dengan hasil pembelajaran, isi
pelajaran, yang mendorong minat murid terhadap tajuk yang hendak diajar, dan
dimulakan dalam keadaan murid sudah bersedia bagi memulakan sesuatu sesi
pengajaran dan pembelajaran, dalam jangka masa antara satu hingga lima minit.
Perkembangan isi pelajaran :
Perkembangan isi pelajaran berlaku secara berurutan dengan set induksi,
bagi matapelajaran Pendidikan Islam langkah-langkah perkembangan dibahagikan
kepada tiga aras. Aras pertama adalah aras asas dan semua murid kelas yang di
ajar hendaklah menguasai aras ini, sekiranya gagal mereka dikehendaki
mengikuti program pemulihan melalui pendekatan yang lebih mudah seperti
menyediakan soalan-soalan yang mudah difahami serta nota ringkas dan mereka
membaca dan memahami nota dengan bimbingan guru kemudian menjawab soalan
manakala murid-murid lain akan terus ke aras kedua iaitu meneruskan
perkembangan selanjutnya, setelah itu guru membuat penilaian, sekiranya ada
yang gagal, murid-murid berkenaan diberikan program pemulihan dengan
pendekatan yang lebih sesuai, murid-murid lain terus ke aras ketiga sehingga
selesai dan diikuti dengan penilaian yang terakhir dipenghujung pengajaran
dan pembelajaran.
Langkah-langkah perkembangan isi pelajaran perlu bermula dari yang mudah
kepada yang lebih kompleks, langkah-langkah disusun dengan menggunakan
kaedah-kaedah dan teknik-teknik pengajaran yang sesuai, secocok dengan
kemampuan serta menarik minat murid untuk terus menghayati ilmu yang sedang
diterokai. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan
berkesan mengikut masa yang telah ditetapkan, jika tidak, pembaziran masa
akan berlaku dan isi kandungan tidak dapat diselesaikan. Setiap isi pelajaran
yang diperuntukkan dalam masa tersebut dapat dinyatakan, difahami, dan sebahagian
murid pula dapat menganalisa,
membandingbeza dan dapat membuat
penilaian.
Pembinaan modal insan yang berkualiti yang menjadi agenda Negara
sewajarnya dipupuk dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pembinaan
intelek, rohani, emosi dan jasmani seharusnya disemai melalui
aktiviti-aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran yang berterusan supaya
ianya menjadi amalan, penghayatan dan pembudayaan. Penyerapan dengan
matapelajaran yang lain, termasuk prinsip-prinsip Islam Hadhari, penggabungjalinan dengan tajuk-tajuk lain,
serta penerapan nilai. Guru menggunakan
berbagai kaedah dan teknik bagi meningkatkan penguasaan ilmu di
samping menjana kemahiran berfikir, termasuk kemahiran-kemahiran lain seperti
kemahiran berkomunikasi dan berintraksi, kemahiran menulis, kemahiran
berhujah, kemahiran imiginasi dan sebagainya, bagi membentuk kemenjadian
murid.
Kemahiran menggunakan sumber yang sedia ada menjadikan pengajaran dan
pembelajaran lebih berksan, seperti alat bantuan mengajar dan bahan bantuan
mengajar dan bahan bantuan belajar
kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, bahan rujukan tambahan, bahan
maklumat tambahan dan sebagainya menjadi
inspirasi guru untuk memudah dan mempercepatkan proses pengajaran dan
pembelajaran. Sumber pengajaran dan pembelajaran hendaklah yang lebih
releven dengan hasil pembelajaran serta isi pembelajaran. Sumber itu dapat
mempercepat dan menjimat masa pembelajaran, menarik minat murid, dan boleh
disertai oleh semua murid. Maklumat dari sumber berkenaan adalah tepat, pengolahan
yang mudah difahami, senang digunakan dan boleh diubah dan sesuai dengan
keadaan semasa.
Apabila seluruh potensi insan dibangunkan secara intergrasi atau
bersepadu, ia bakal melahirkan insan yang berketrampilan yang mampu
menyumbangkan segala kebolehan untuk
kebaikan diri, masyarakat dan Negara. Hati adalah penentu dalam pembangunan
insan kerana hati menjadi punca penggerak dan keinnginan manusia dan dari
hati juga lahirnya pertimbangan dan nilai sesuatu amalan. Hati perlu
menjalani proses pendidikan supaya lahirnya hati yang bersih, baik dan
bermanfaat. Intergrasi ilmu yang bersandarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah
dan dikaitkan dengan berbagai cabang ilmu, bakal melahirkan modal insan yang
berkualiti.
Pengujian, penilaian, pengukuran
dan pentaksiran :
Pengujian adalah merujuk kepada satu cara untuk merealisasikan maklumat
tentang perubahan tingkahlaku seseorang. Ujian terdiri satu set soalan atau tugasan murid yang meminta mereka
memberi respons atau tindakbalas. Ujian yang dijalankan yang berfokus kepada
satu atau lebih unit pembelajaran adalah sebagai pengukur keberkesanan hasil
pembelajaran, mengesan kemajuan yang telah diperolehi tentang sesuatu isi
pelajaran yang telah dihasilkan dalam aktiviti pembelajaran. Ujian petempatan
pula adalah bertujuan menguji pengetahuan yang sedia ada, bagi menentukan
aras pembelajaran yang berikut, dan ujian diagnostik adalah bertujuan untuk
menjadi panduan kepada guru menentukan kaedah pemulihan dan pengukuhan yang akan dilakukan selepas
ujian tersebut.
Pengukuran merupakan suatu proses untuk menetapkan kuantiti dan tahap
keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran murid. Alat pengukuran yang
biasa digunakan oleh seseorang guru. Tujuan pengukuran dalam bilik darjah
adalah untuk mengesan hasil pembelajaran, mengesan kemahiran, kemajuan yang
telah dicapai dalam pembelajaran yang lain serta membuat refleksi terhadap
kemampuan dan penguasaan seeorang
murid. Cara pengukuran boleh dilakukan dengan kaedah yang pelbagai bagi
mendapatkan data kuantitif, bagi menunjukkan pencapaian dalam isi pelajaran
yang diukur.
Penilaian dalam pembelajaran adalah suatu proses mentaksir sama ada
kuantiti atau tahap sesuatu yang diukur itu boleh diterima atau tidak.
Penilaian melibatkan tiga langkah iaitu mendapatkan maklumat melalui cara
mengukur, menetapkan suatu kriteria bagi pengukuran dan membuat sesuatu
pertimbangan berdasarkan hasil pengukuran. Selain daripada ujian, penilaian
boleh dilakukan melalui soal selidik, senarai semak, bagi mendapatkan
maklumat tentang pencapaian dan tingkahlaku murid secara
menyeluruh.Kepentingan penilaian dalam bilik darjah, antaranya membantu guru
merancang strategi pengajaran setelah mengetahui punca kelemahan dan
merancang program pengukuhan, dan menentukan pengajaran dan pembelajaran yang
lebih efisien dan efektif. Murid dan ibubapa mendapat laporan kemajuan
pelajaran. Mengesahkan tahap pencapaian murid bagi membantu guru membuat
tindakan susulan. Membantu Pengetua atau Guru Besar, Penolong Kanan, Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid, kaunselor, Guru Bidang dan juga Ketua Panitia Mata
Pelajaran bagi melaksanakan berbagai pendekatan membantu meningkatkan
prestasi dalam peperiksaan.
Penilaian terbahagi kepada dua kategori iaitu penilaian formatif dan
penilaian sumatif. Penilaian formatif
bertujuan untuk mengukur kemajuan pelajaran murid setelah sesuatu hasil
pembelajaran telah selesai dilaksanakan oleh guru, guru dapat mengetahui
pencapaian murid sama ada boleh diteruskan ke hasil pembelajaran yang
berikutnya. Sekiranya mejoriti murid gagal dalam ujian ini, guru seharusnya
melakukan pemulihan atau pengulangan dalam kaedah atau pendekatan yang lebih
mudah. Jika sebilangan kecil murid yang gagal, maka murid-murid tersebut juga
perlu diipulihkan melalui bimbingan atau menyediakan tugasan tertentu dan dalam
masa yang sama pengajaran dan pembelajaran murid-murid yang berjaya
diteruskan ke aras atau hasil pelajaran yang berikutnya.
Penilaian sumatif ialah penilaian yang dilakasanakan di akhir semester
atau tahun seperti peperiksaan akhir tahun, peperiksaan semester I,
peperiksaan percubaan dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk menentukan
gred-gred pencapaian atau untuk memberi penganugerahan atau sijil. Bidangnya
menjadi lebih luas yang mencakupi semua perkara yang perlu dikuasai murid
bagi setiap mata pelajaran. Guru juga menggunakan keputusan tersebut sebagai
menilai semula keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Beberapa jenis ujian boleh dilaksanakan oleh guru, antaranya, ujian
rujukan kriteria, ujian rujukan norma, ujian objektif, ujian subjektif, ujian
tara, ujian buatan guru, ujian bukan bertulis, ujian bertulis, ujian
kepantasan dan ujian daya.
Ujian rujukan norma ialah ujian yang bertujuan membanding pencapaian
seorang murid dengan murid yang lain. Soalan-soalan
yang dikemukakan terdapat aras mudah, sederhana dan sukar. Ujian rujukan
kriteria ialah pencapaian seseorang
murid diukur dan dibandingkan dengan kretiria yang telah ditentukan contohnya
untuk mendapat markah yang penuh bagi sesuatu soalan atau tugasan maka murid
berkenaan perlu memenuhi aspek-aspek yang telah ditentukan. Soalan-soalan
dalam ujian ini adalah hampir sama aras kesukarannya, guru dapat membayangkan
tahap pengetahuan dan kemahiran yang dicapai oleh murid yang berkenaan. Ujian
rujukan kretiria ini lebih mengutamakan pembelajaran bahagian-bahagian
tertetu bukan keseluruhan.
Ujian objektif adalah ujian yang biasanya memerlukan jawapan pendek iaitu
beberapa perkataan sahaja atau menandakan jawapan mana yang betul, contohnya
ujian aneka pilihan, salah-betul, padanan, isi tempat kosong dan lengkapkan
dan pemeriksa akan memberi markah yang sama dengan pemeriksa yang lain. Ujian
subjektif, ialah soalan yang bertujuan untuk menguji pengetahuan, kefahaman
dan kebolehan murid itu berfikir, menganalisis, membuat sentisis dan
penilaian. Calon diberi kebebasan untuk memberi jawapan dengan pendekatan
sendiri. Soalan ini terbahagi kepada soalan yang memerlukan jawapan yang
ringkas, dan soalan yang memerlukan jawapan yang tiada had.
Ujian tara ialah ujian yang mempunyai prsedur pentadbiran dan permarkahan
yang setara dengan murid di tempat yang lain sama bagi satu daerah, negeri
atau Negara. Ujian buatan guru adalah ujian yang disediakan untuk mengukur
hasil pengajaran dan pembelajaran seseorang guru bagi mata pelajaran
tersebut. Ujian bulanan, pertengahan tahun dan akhir tahun sama ada berbentuk
objektif atau subjektif.
Ujian bukan bertulis dikatakan sebagai ujian perlakuan, yang tidak
menggunakan perkataan kecuali semasa memberi arahan. Contohnya, murid
menyusun kembali keratan-keratan gambar supaya menjadi gambar yang lengkap.
Ujian bertulis iaitu ujian yang perlu dijawab menggunakan perkataan yang
ditulis di atas kertas.
Ujian kepantasan ialah ujian yang mengandungi jumlah soalan yang banyak
dan perlu diselesaikan dalam jangka masa yang terhad dan hampir sama aras
kesukarannya. Ujian Daya ialah ujian yang terdiri daripada soalan-soalan yang
berbeza-beza aras kesukaran dan markahnya tertakluk kepada jumlah soalan yang
dijawab dengan betul, masa yang diperuntukkan adalah lebih lama dimana mejoriti
pelajar dapat menyelesaikan semua soalan.
Jadual penentuan ujian (JPU) dan sekarang dikenali sebagai jadual spesifikasi ujian (JSU), adalah satu
senarai objektif pengajaran dan aras pemahaman yang hendak diuji dan menjadi
satu panduan untuk menghasilkan satu set soalan yang mempunyai item-item
soalan. Tujuan utama pembinaan JSU
untuk mengawal soalan-soalan yang akan dihasilkan, menentukan kesahan dan kebolehpercayaan
ujian, menjadi garis panduan kepada penggubal soalan, menstabilkan aras
kesukaran yang ditentukan oleh pihak bertanggungjawab, dan membolehkan
perbandingan dibuat antara satu ujian dengan ujian yang lain.
Ciri-ciri utama JSU ialah
penentuan tajuk, aras kemahiran yang hendak diuji, paksi menegak adalah tajuk
atau isi pengajaran, paksi mendatar adalah kemahiran atau konstruk, bilangan
soalan, dan menetukan kesahan setiap ujian. Prosedur pembinaan JSU iaitu
bermula dengan langkah pertama iaitu memilih hasil pembelajaran yang hendak
diuji, menyenaraikan isi atau tajuk-tajuk, dan membina carta menegak dan
melintang.
Rumusan, tugasan dan refleksi :
Guru merumuskan hasil pembelajaran yang telah dikembangkan melalui
pelbagai kaedah yang menarik, bukan sekadar guru menggambarkan sepintas lalu
isi kandungan, tetapi guru boleh
menggerakkan murid memberi rumusan berdasar pengalaman pembelajaran tersebut,
rumusan juga boleh dipindah dalam pelbagai bentuk seperti susunan dalam
bait-bait puisi, sajak, pantun, soal jawab dan main peranan.
Tugasan yang disediakan kepada murid adalah untuk pemulihan dan
pengukuhan, bergantung kepada pencapaian hasil pembelajaran, tugasan boleh
dijelmakan dalam bentuk pemantapan isi seperti meminta murid menyedia peta
minda lengkap, menjawab soalan-soalan yang diberi atau untuk tujuan
pengukuhan seperti membuat rujukan di perpustakaan, menyediakan folio, atau
buku skrap, membuat kajian-kajian luaran, menulis dalam bentuk karangan dan
sebagainya.
Guru perlu mencatatkan kemajuan dan kelemahan yang terdapat dalam
pengajaran dan pembelajaran tersebut dan mencari peluang-peluang bagi
pengubahsuaian serta mengemuka pandangan atau cadangan bagi menyelesaikan beberapa masaalah
pembelajaran supaya pengajaran dan pembelajaran berikut dapat dilaksakan
dengan lebih sempurna dan terdapat penambahbaikan.
Penutup
Guru yang berkualiti mempunyai wawasan yang jelas, daya kreativiti, serta
peka terhadap segala perubahan yang
dikehendaki oleh pengurusan atasan supaya tidak berlaku pembaziran waktu
disebabkan berbagai pemantauan yang penyeliaan yang terpaksa dijalankan.
Guru yang berwibawa sentiasa memikir kaedah bagi mencapai pengurusan yang
cemerlang, di antara perkara yang menjadi fokus ialah mengetahui dan memahami
bidang kerjayanya, menghayati hasil kerja atau objektif kerja untuk jangka
panjang dan jangka pendek, kerja yang dilakukan lebih spesifik, boleh diukur
pencapaiannya, boleh dicapai, realistik, dan bijak dalam pengurusan masa.
Perancangan yang rapi bagi memastikan objektif-objektif tercapai,
meletakkan keutamaan dalam tugasan. Keupayaan, kemahiran melaksanakan tugas,
kemahiran berfikir, kemahiran berintrkasi, dan berkomunikasi, kemahiran
mengurus dan mentadbir, dan kemahiran mengaplikasi peralatan yang terkini
seperti komputer, kecekapan menjalankan tugasan yang diamanahkan di samping
memiliki wawasan yang jelas. Kemampuan membuat pemantauan atau refelkesi di
atas kerja-kerja yang telah dilakukan untuk tujuan penambahbaikan, di samping
memiliki sahsiah sebagai seorang guru yang boleh mempamerkan teladan yang
baik kepada semua orang serta mematuhi tonggak dua belas, nilai dan etika
dalam perkhidmatan awam serta etika kerja dalam Islam.
Guru yang berwawasan bertindak sebagai mualim, muaddib, murabbi, mursyid,
dan dalam masa yang sama sebagai fasilitator, pembimbing dan kaunselor yang
sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu menumpukan perhatian dengan
bersungguh-sungguh melaksanakan tugas. Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
‘sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan pekerjaan dengan
tekun’. (Riwayat Baihaqi). Guru adalah segala-galanya.
Pengurusan bilik darjah yang dinamik bergantung kepada kebijaksanaan guru
memainkan peranan sebaik mungkin bagi menghasil bilik darjah harmonis,
kondusif dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang memberansangkan
serta mencapai objektif.
Rujukan
Bosch, K. (1999), Planning
Classroom Management for Change, New York: Skylight Training &
Publishing Inc.
Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Semuel (2009), Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku, Kuala
Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd
|
No comments:
Post a Comment