Saturday, April 28, 2012

FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI ASPEK PENCAPAIAN AKADEMIK DAN LANGKAH-LANGKAH MENGATASI


1.0 Pengenalan
Setiap individu yang dilahirkan adalah berbeza daripada individu yang lain. Di dalam sesebuah kelas, terdapat perbezaan individu antara setiap murid tersebut. Terdapat murid yang lemah, sederhana dan pandai. Menurut Henson dan Eller (1999) di dalam bukunya Educational Psycholigy for Effective, kepelbagaian individu merujuk kepada ciri atau sifat manusia yang mempunyai potensi sama ada memajukan keupayaan seseorang (contohnya seperti optimistik, sentiasa berani mencuba ) atau membataskan keupayaan seseorang untuk belajar di dalam persekitaran sekolah ( contohnya seperti takut melakukan, takut bertanya).
Satu kajian telah dilakukan ke atas dua orang murid sekolah rendah yang berbeza pencapaian akademik. Kajian tersebut dilakukan melalui kaedah temu bual berdasarkan beberapa soalan. Seorang mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik dan seorang lagi mempunyai pencapaian akademik yang lemah. Kedua orang murid tersebut adalah murid lelaki, berumur sembilan tahun, jantina yang sama  dan berada di dalam kelas yang sama.  
Hasil dapatan daripada sesi temu bual, terdapat beberapa faktor yang telah mempengaruhi pencapaian akademik kedua orang murid tersebut. Antaranya, faktor personaliti, gaya kognitif dan gaya belajar, kesihatan, jantina dan lokasi/tempat tinggal murid. 
Justeru itu, beberapa langkah perlu diambil oleh guru untuk mengatasi masalah pencapaian akademik kedua orang murid tersebut. Pertama, kaedah kumpulan,  pembelajaran koperatif, memberi peneguhan positif dan negatif, mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran serta mempelbagaikan bahan bantu mengajar.

2.0 Kajian Literatur
Menurut Carl Jung personaliti terbahagi kepada tiga jenis iaitu ekstrovert, introvert dan ambivert. Murid yang memilikki ciri-ciri ekstrovert iaitu suka bergaul, cepat mengeluarkan pendapat, mudah mesra, kreatif dan bersikap lebih terbuka mempunyai pencapaian akademik yang lebih baik.

Menurut Honey dan Mumford (1992) dengan mengenalpasti gaya pembelajaran individu, ia bukan sahaja hanya dapat mengeksploitasi gaya pembelajaran yang diamalkan oleh individu malahan dapat meningkatkan potensi seseorang dalam proses pembelajaran.

Menurut Maccoby dan Jacklin (1974) pelajar perempuan lebih baik daripada kecerdasan lisan atau bahasa, sementara pelajar lelaki pula lebih baik dari segi kecerdasan ruang. Ini bermakna pelajar perempuan lebih baik di dalam perbendaharaan kata, tugasan mengeja perkataan dan membaca. Sementara, pelajar lelaki pula lebih baik di dalam tugasan membaca peta, teka silang kata atau tugasan berkaitan ruang. Pelajar lelaki turut mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang dalam mata pelajaran matematik , contohnya dalam menyelesaikan tugasan geometri.

3.0 Faktor-faktor mempengaruhi
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik murid. Antaranya faktor personaliti, gaya kognitif dan gaya belajar, jantina, kesihatan dan lokasi atau tempat tinggal.

3.1 Personaliti
Setiap murid mempunyai personaliti yang tersendiri. Faktor personaliti memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pencapaian akademik seseorang pelajar (Eysenck 1979).  Menurut ahli psikologi, personaliti merangkumi pemikiran, persepsi, nilai, sikap, watak, keupayaan, kepercayaan, kecerdasan, motivasi, kebiasaan dan sebagainya.
Menurut Carl Jung personaliti terbahagi kepada tiga jenis iaitu ekstrovert, introvert dan ambivert. Murid yang memiliki ciri-ciri ekstrovert iaitu suka bergaul, cepat mengeluarkan pendapat, mudah mesra, kreatif dan bersikap lebih terbuka mempunyai pencapaian akademik yang lebih baik. Pelajar sekolah rendah didapati lebih ekstrovert serta mampu memperolehi pencapaian akademik yang cemerlang (Elliot,1972;Anthony,1977 dan Riding 1979). 
Murid yang peramah, suka bergaul dan ceria mudah mendapat ramai kawan. Ini dapat meningkatkan pencapaian akademik apabila mereka dapat belajar secara berkumpulan. Pada kebiasaannya, murid akan menjadi baik dan berjaya apabila mereka bersahabat dengan rakan yang baik dan rajin. Jika mereka bersahabat dengan rakan yang tidak bermoral maka mereka turut gagal mengekalkan kejayaan yang dicapai sebelumnya ( Sulaiman, 1996 ).  Ini bermaksud seseorang murid yang mempunyai kecemerlangan dalam bidang akademik akan menjadi sebaliknya jika berkawan dengan rakan-rakan yang mempunyai sikap yang malas dan tidak suka kepada sesuatu kejayaan dalam bidang akademik. Hal ini kerana, seseorang rakan itu dapat mempengaruhi rakan yang lain untuk mengikuti jejaknya.
Faktor personaliti ini dapat disokong oleh Teori Sigmund Freud bahawa perkembangan personaliti manusia terbahagi kepada tiga iaitu ego, id, dan superego. Murid yang berkebolehan dan pintar cerdas kognitif dalam pencapaian akademik tergolong dalam personaliti ego. Ego ialah realiti komponen psikologi yang mengutamakan realiti dan pemikiran logik.  Murid yang memiliki elemen ego penuh dengan persepsi, inginkan kemajuan dan boleh menyesuaikan fungsinya mengikut keadaan semasa.
Manakala, murid yang mempunyai personaliti id ialah murid yang mementingkan keseronokkan, tidak rasional dan penuh dengan orientasi berkehendakkan kepuasan. Murid superego pula lebih menyerupai hati nurani atau conscience seseorang individu. Murid ini mempunyai kedua-dua personaliti ego dan id.

3.2 Gaya belajar dan gaya kognitif
            Gaya kognitif ialah cara individu mempersepsi maklumat mengenai persekitarannya. Sementara, gaya belajar merujuk kepada pendekatan individu kepada cara belajar yang digemarinya. Menurut Honey dan Mumford (1992) dengan mengenalpasti gaya pembelajaran individu, ia bukan sahaja hanya dapat mengeksploitasi gaya pembelajaran yang diamalkan oleh individu malahan dapat meningkatkan potensi seseorang dalam proses pembelajaran.
Gaya belajar yang bersesuaian dengan diri seseorang murid adalah salah satu penentuan ke arah kecekapan dan kebolehan mengasimilasikan ilmu yang dipelajari dengan cemerlang dan berkesan. Gaya pembelajaran yang sesuai penting untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Ini kerana, cara yang bersesuaian dengan ciri-ciri pembelajaran akan menyebabkan pelajar di semua peringkat lebih bermotivasi dan seterusnya akan meningkatkan pencapaian akademik (Chambers, 1991).
Faktor ini turut disokong oleh Herman Witkin dan Gooddenough (1977) yang memperkenalkan gaya bebas medan dan bersandar medan. Antara ciri-ciri pelajar gaya bebas medan ialah , suka berinteraksi secara formal dengan guru, matlamat pembelajaran daripada punca dalaman dan suka merancang sendiri cara pembelajaran. Manakala,ciri-ciri pelajar bersandar medan ialah suka berinteraksi secara informal dengan guru, matlamat pembelajaran daripada punca luaran iaitu ibu, bapa atau guru dan suka pembelajaran terancang dan berstruktur. Oleh yang demikian, pelajar yang mempunyai ciri bersandar medan mempunyai pencapaian akademik yang lebih cemerlang berbanding pelajar bebas medan.
Pencapaian akademik murid yang berbeza turut merujuk kepada gaya kognitif impulsif dan reflektif. Menurut Slavin (1997) gaya impulsif merujuk seseorang yang gemar memberi respons secara tepat, yang biasanya tidak menitikberatkan ketepatan. Pelajar impulsif suka membuat kerja dengan cepat, tetapi membuat kesilapan kerana belajar mengikut gerak hati. Manakala, pelajar reflektif seseorang yang sentiasa menganalisis diri dan pemikiran sendiri. Pelajar reflektif lambat menyiapkan tugasan tetapi kurang membuat kesilpan. Mereka lebih mementingkan ketepatan jawapan atau kesempurnaan tugasan daripada menepati masa yang ditetapkan. Perasaan kurang yakin diri ini menyebabkan mereka lambat menyiapkan tugasan.

3.3 Kesihatan
            Murid yang sihat sentiasa riang, cerdas, suka bertanya dan dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran guru dengan baik. Manakala, murid yang tidak sihat  kelihatan lemah, kurang bertenaga, tidak menumpukan perhatian di dalam kelas dan tidak mempunyai ramai kawan. Selain itu, murid lemah kerana menghadapi masalah kesihatan seperti asthma, talassemia, hepatitis B dan sebagainya.
Penjagaan kesihatan  merupakan salah satu tanggungjawab penting kepada murid. Kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental akan membolehkan murid mengikuti pelajaran dengan baik dan sempurna. Pemakanan yang tidak mencukupi sama ada dari segi kuantiti ataupun kualiti boleh melambatkan proses kematangan. Kekurangan pemakanan yang seimbang boleh menggangu pola-pola pertumbuhan kerana kurangnya pengambilan vitamin, mineral dan protein.
Dengan pengabaian tersebut, keupayaan fizikal dan mental murid-murid tersebut agak terbatas dan lemah menyebabkan tumpuan mereka terhadap pembelajaran adalah lemah. Keadaan ini menyumbang kepada kemerosotan pencapaian akademik dalam mata pelajaran yang dipelajarinya.
Faktor ini turut disokong dengan adanya Teori Hirarki Keperluan Maslow. Keperluan Fisiologi merupakan peringkat keperluan yang paling asas. Keperluan ini adalah penting bagi kehidupan sesuatu organisme, apatah lagi manusia. Keperluan asas ini merangkumi apa yang diperlukan untuk diri atau fizikal seseorang seperti keperluan mendapatkan makanan, minuman dan tempat tinggal. 
 Oleh itu, dalam konteks pendidikan murid-murid yang kurang mendapat makanan tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pelajaran mereka. Ini kerana kesan daripada kekurangan keperluan ini akan mengakibatkan kesihatan murid terganggu atau terjejas. 

4.0  Jantina
 Pengaruh jantina adalah amat besar dalam mempengaruhi pencapaian akademik seseorang individu. Jantina boleh mempengaruhi individu dalam berbagai cara dan keadaan contohnya dalam cara berpakaian, berfikir, kesopanan, sikap, personaliti dan juga dalam pencapaian akademik (Campbell dan Clewell 1999).
            Menurut Maccoby dan Jacklin (1974) pelajar perempuan lebih baik daripada kecerdasan lisan atau bahasa, sementara pelajar lelaki pula lebih baik dari segi kecerdasan ruang. Ini bermakna pelajar perempuan lebih baik di dalam perbendaharaan kata, tugasan mengeja perkataan dan membaca. Sementara, pelajar lelaki pula lebih baik di dalam tugasan membaca peta, teka silang kata atau tugasan berkaitan ruang. Pelajar lelaki turut mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang dalam mata pelajaran matematik , contohnya dalam menyelesaikan tugasan geometri.
            Faktor ini turut disokong oleh Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner. Pencapaian akademik murid perempuan lebih baik daripada murid lelaki kerana murid perempuan mempunyai kecerdasan verbal linguistik. Menurut Howard Gardner’s, (1983), seseorang yang mempunyai kecerdasan verbal-linguistik mampu memahami, bertutur, menulis pelbagai jenis bahasa dan mampu menguasai bahasa asing dengan baik dan fasih
Oleh itu, murid perempuan dikatakan memiliki kecerdasan verbal linguistik kerana cemerlang pada peringkat persekolahan dalam bidang bahasa. Murid perempuan sering melibatkan diri dalam pertandingan berkaitan bahasa, meminati ilmu falsafah dan isu-isu sosial dan suka membaca bacaan yang luas serta membaca dengan pantas.

5.0 Lokasi atau tempat tinggal
Murid yang tinggal dan membesar di kawasan persekitaran yang sihat mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan dirinya. Menurut Papalia (2001) persekitaran merupakan perkara yang bukan genetik yang mempengaruhi seseorang individu. Ini dapat dilihat melalui asuhan dan interaksi dengan kedua orang ibu bapanya, pengaruh adik-beradik, ahli keluarga lain, guru, kawan-kawan, bahan media cetak dan media elektronik serta bahan daripada komputer.
Menurut Baumrind ( di dalam Santrock, 2001), terdapat empat bentuk asuhan keluarga iaitu authoritarian, autoritatif, mengabaikan dan indulgent. Ibu bapa yang mengamalkan bentuk asuhan keluarga autoritatif dapat membantu pencapaian akademik murid-murid di sekolah. Ini kerana, ibu bapa autoritatif adalah ibu bapa yang memberikan kebebasan yang terbatas kepada anak mereka. Antara ciri ibu bapa autoritatif ialah menggalakkan anak-anak berdikari di samping memberi sedikit kawalan ke atas tingkah laku mereka dan anak-anak bebas berkomunikasi secara lisan dengan ibu bapa yang bersifat menyokong dan membantu perkembangan anak-anak mereka. Oleh yang demikian, anak-anak yang dibesarkan dengan cara asuhan autoritatif ini menunjukkan tingkah laku bersosial yang baik.
Faktor ini turut disokong dengan Teori Perkembangan Ekologi Bronfenbrenner. Mengikut Urie Bronfenbrenner (1917) terdapat lima sistem yang mempengaruhi ekologi iaitu sistem mikro, sistem meso, sistem ekso, sistem makro dan sistem krono. Sistem mikro adalah seting di mana seseorang individu menghabiskan masa bersama-sama keluarga, rakan sebaya, berada di sekolah atau berada di kawasan setaman atau sekampung. Di dalam sistem ini, individu mempunyai hubungan yang langsung dengan ibu bapa, adik beradik, guru, rakan sebaya, jiran dan lain-lain. Justeru itu, murid yang tinggal di dalam ekologi sistem mikro dapat membesar dengan sihat dan sekaligus dapat meningkatkan pencapaian akademiknya. Ini kerana kawasan persekitarannya telah membantu menjadikannya murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

5.0 Langkah-langkah mengatasi
Antara langkah-langkah mengatasi yang boleh diambil ialah mengadakan kaedah kumpulan, pembelajaran, peneguhan positif dan negatif, mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran serta mempelbagaikan bahan bantu mengajar.

5.1  Kaedah kumpulan
Di dalam sesebuah kelas terdapat beberapa orang murid yang mempunyai tahap keupayaan yang berbeza-beza. Oleh itu, guru boleh menggunakan kaedah kumpulan untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan tahap keupayaan murid. Ini dapat memudahkan guru menyediakan latihan atau bahan sumber pengajaran dan pembelajaran.
Guru boleh mengasingkan murid yang lemah, sederhana dan pandai dalam kumpulan yang ditetapkan. Dengan cara ini, guru dapat memantau prestasi setiap kumpulan berdasarkan tahap keupayaan dan kecerdasan murid-murid tersebut. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran juga tidak membebankan murid kerana guru menggunakan aras yang berbeza untuk setiap kumpulan.Guru juga perlu membuat carta kemajuan dan rekod profil untuk setiap murid-muridnya. Hasil pemerhatian guru dan pencapaian murid perlu dicatat dari masa ke masa.

5.2 Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran koperatif ialah pembelajaran di dalam kumpulan heterogenius di mana biasanya terdapat murid cerdas dan lambat. Di dalam aktiviti pembelajaran ini, murid cerdas dikehendaki membantu murid lemah. Murid yang cerdas akan bersungguh-sungguh membantu murid yang lemah kerana markah yang diperoleh setiap individu di dalam kumpulan akan menjadi markah kumpulan. Secara tidak langsung, dapat memupuk semangat bekerjasama apabila setiap kumpulan bersaing satu sama lain.

Kaedah pengajaran ini adalah menggunakan idea “perancah” (scaffolding) dalam Teori Perkembangan Kognitif Vygotsky, di mana murid cerdas akan membimbing pelajar lemah di dalam zon perkembangan proksimal. Ini kerana, ada kalanya pengajaran rakan sebaya lebih berkesan daripada guru, kerana pemikiran lateral boleh digunakan oleh pelajar yang cerdas ini.

5.3 Peneguhan positif dan negative
Semasa berlakunya aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru hendaklah memberi peneguhan positif kepada murid yang menunjukkan tingkah laku yang baik. Murid-murid akan berasa dihargai apabila dipuji oleh guru. Guru boleh membuat peneguhan positif dengan mengatakan “bagus”apabila murid dapat memberi jawapan yang betul ketika sesi soal jawab di dalam kelas. Peneguhan positif juga boleh diberikan dengan memberikan simbol bintang pada buku latihan murid kerana dapat menyiapkan kerja dengan tulisan yang kemas dan cantik.
Manakala, peneguhan negatif untuk mengelakkan tingkah laku yang yang tidak disukai. Contoh, guru yang hendak mengelakkan muridnya membuat bising akan mengatakan bahawa, “Saya akan membenarkan murid yang telah menyiapkan kerja keluar rehat lebih awal”. Oleh itu, murid akan menyiapkan kerja yang diberikan untuk keluar rehat lebih awal.
Selain itu, guru juga boleh menggunakan prinsip Premack atau “grandmother’s rule, iaitu dengan menyatakan , “ Murid yang membuat kerja dengan tulisan yang cantik dan kemas akan dibenarkan membaca komik “Naruto”. Ini bermakna murid akan membuat latihan yang diberikan dengan teliti untuk mendapatkan sesuatu yang disukainya.

5.4 Mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran
Strategi dan kaedah pengajaran guru berfungsi sebagai satu panduan pengajaran ke arah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Guru perlu mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat murid supaya dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran sehingga tamat. Antaranya, kuiz, perbincangan, percambahan idea, lakonan, simulasi, kaedah penyoalan, projek dan lawatan.
Guru juga boleh menngunakan pelbagai soalan bagi mengetahui tahap pencapaian dan kebolehan muridnya. Penyoalan boleh dilakukan dalam bentuk pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Contoh, guru boleh memulakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dengan memulakan set induksi menggunakan tayangan video, bercerita, bernasyid dan sebagainya. Secara langsung dapat menggalakkan penglibatan murid-murid dan meningkatkan motivasi untuk belajar.


3.5 Mempelbagaikan bahan Bantu mengajar
Guru perlu menggunakan pelbagai bahan bantu mengajar seperti penyampaian maklumat melalui transperansi, laman web atau pencarian internet, carta dan lain-lain lagi. Ini adalah sesuai kerana di dalam sesebuah kelas ada murid yang peka kepada audio, ada yang tertarik kepada visual dan yang tertarik kepada kinestetik.
Pembelajaran melalui akhbar di dalam bilik darjah adalah satu cara pengajaran yang boleh merangsang minda murid berfikir, kerana terdapat banyak pengetahuan yang boleh didapati di dalam surat khabar tersebut.
Pembelajaran berbantukan komputer juga dapat merangsang minat murid untuk belajar. Soalan-soalan yang diberikan adalah mengikut aras soalan daripada yang mudah hingga susah.  Oleh itu, murid yang lemah, sederhana dan pandai dapat menjawab soalan mengikut tahap keupayaan masing-masing. Pembelajaran berbantukan komputer amat menarik digunakan kerana mengandungi elemen-elemen visual grafik yang dapat menarik perhatian murid contohnya animasi kartun.

4.0 Kesimpulan

Pencapaian akademik murid yang berbeza adalah disebabkan oleh faktor personaliti, gaya kognitif dan gaya belajar, jantina, kesihatan dan faktor lokasi. Ini kerana setiap murid mempunyai perbezaan individu tersendiri.
Oleh itu, setiap guru perlu mengenalpasti apakah tahap kecerdasan murid di dalam kelas. Ini untuk memudahkan guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap keupayaan seseorang murid itu. Langkah-langkah mengatasi yang boleh di ambil oleh guru ialah mengaplikasikan kaedah kumpulan, pembelajaran koperatif, memberi peneguhan positif dan negatif, mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran serta mempelbagaikan bahan bantu mengajar.
            Guru juga perlu mengenalpasti dan memahami setiap masalah yang berlaku pada  murid-muridnya. Keprihatinan dan kerjasama guru membantu murid yang mengalami masalah perbezaan individu ini akan dapat melahirkan modal insan yang cemerlang suatu hari nanti. Ini sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan kebangsaan  bahawa modal insan yang dilahirkan haruslah seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas malah memainkan peranan amat penting iaitu mendidik dan membimbing murid menjadi insan yang berguna, cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa hadapan.

5.0 Rujukan

Agnes, P. W. , Kellerman, A.S., & Meyer, J. (1996). Multimedia in the classroom. Boston: Allyn & Bacon.

Alsagoff. S (1992). Teknologi pengajaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka



Ismail.M, (1995). Penilaian di bilik darjah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Husin.K(1993).Pedagogi 3. Penggunaan psikologi dalam bilik darjah.Petaling Jaya : Longman Malaysia.

Mohamed.M. (1990). Pengantar psikologi satu pengenalan asas kepada jiwa dan tingkah laku manusia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nor.S & Ramli. D (1998). Kemahiran Berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK): Longman.

Wan Zah Wan Ali (2000) Memahami pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications

4 comments:

  1. Saya berjaya baca sampai penghujung. Menarik dan sangat membantu saya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. satu perkongsian ilmu yang baik...terima kasih kerana sudi berkongsi bahan bacaan...

    ReplyDelete
  3. Tima kasih banyk2 tuan DR atas usaha murni tuan ini. Ilmu yang tuan kongsi ini dapat saya jadikan rujukan dalam melaksanakan tugasan saya. Saya adalah bekas pelajar tuan di IPBMM SABK 2006. Kami geng "seruling" dari Perlis.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih banyak2 Tuan.... ilmu dan input yang sangat berguna sebagai rujukan saya.....

    ReplyDelete